salam.
Pada minggu lepas, pagi itu, saya dan ahli beyt saya menaiki sebuah teksi untuk ke gamaah (universiti). Pada ketika itu, pak cik teksi itu sedang memasang radio. Saya cuba untuk mendengar memasang telinga. Dan barulah saya tahu, radio itu sedang memutarkan suatu kisah mengenai seorang panglima Islam yang sangat hebat pada suatu ketika dahulu, sewaktu zaman bani Umaiyyah kalau tidak silap saya iaitu Thariq bin Ziyad. Dikisahkan beliau telah menawan kota Andalusia dahulu. Itu sahaja yang saya dapat fahami. Dek kerana kecetekan 'vocab' bahasa arab, saya tidak dapat memahami apa yang dikisahkan seterusnya melalui radio itu. Lalu, teringin sekali saya berkongsi dengan pembaca semua mengenai kisah Thariq ini. Rasanya tak semua kenal Thariq ni. Jom kita kaji sejarah beliau!~
Thariq bin Ziyad (670M-720M / 75H-125H), merupakan seorang anak yatim piatu, rajin bekerja dan suka menuntut ilmu. Telah dijual sebagai hamba atau budak suruhan dan dibeli oleh Musa bin Nusair. Musa bin Nusair ini adalah seorang pemerintah Islam di Afrika. Thariq diajar bermain senjata dan menunggang kuda. Akhirnya Musa bin Nusair memberi kepercayaan penuh kepada Thariq bin Ziyad untuk menjadi Ketua Panglima bagi mengetuai sebuah angkatan perang seramai 12,000 orang Islam bagi menawan Andalusia (Sepanyol) serta membebaskan rakyat dari penindasan Raja Roderiga.
Raja Roderiga ini berbangsa Gotik dan memerintah Sepanyol. Dia dan orang-orangnya hidup mewah sedangkan rakyat dibiarkan dalam kesengsaraan. Para petani dipaksa membayar cukai yang tinggi. Kaum wanita pula terutama anak-anak gadis yang cantik berasa tidak selamat kerana sering diperkosa oleh Raja Roderiga ataupun konco-konconya. Mereka yang cuba melawan dibunuh hidup-hidup. Akibat penindasan yang tidak berperikemanusiaan itu, rakyat hidup dalam ketakutan. Ramai antara mereka terpaksa melarikan diri ke Afrika, sebuah negara yang aman makmur di bawah pemerintahan Kerajaan Islam.
Disebabkan kekejaman inilah, Musa bin Nusair menghantar tentera-tentera Islam yang diketuai oleh Panglima Thariq bin Ziyad ke tanah Andalusia. Matlamat mereka hanya satu, menang atau syahid kerana Allah. Setelah belayar beberapa ketika, mendaratlah tentera Islam di bumi Andalusia di sebuah bukit, yang tidak berpenghuni, lalu diberi nama oleh Thariq sebagai "Jabal Thariq", pada masa ini tempat itu dikenali sebagai Gibraltar.
Dan bermulalah perjuangan Panglima Thariq bin Ziyad bersama tenteranya. Pada mulanya tujuan mereka untuk meninjau keadaan tempat dan kekuatan musuh sebagai persediaan menunggu ketibaan tentera yang dipimpin sendiri oleh Musa bin Nusair sahaja. Tetapi Musa bin Nusair telah berpesan kepada Thariq, "Apabila terserempak dengan musuh, buatlah apa yang panglima fikirkan terbaik. Keselamatan 12,000 tentera Islam terletak di tangan kamu. Pimpinlah mereka dengan bijaksana." Maka Thariq telah membuat keputusan untuk berhadapan dengan tentera Gotik di atas keadaan yang beliau yakini perlu bertindak ketika itu.
Pada 19 Julai 711M, terjadilah pertempuran antara tentera Islam yang dipimpin oleh Thariq Ziyad dengan tentera Gotik yang dipimpin oleh Raja Roderiga. Walaupun pasukan tentera Islam jauh lebih kecil berbanding musuh ditambah pula dengan kelengkapan senjata yang serba kekurangan namun dengan semangat jihad yang berkobar-kobar mereka akhirnya berjaya memberi pukulan yang hebat kepada Raja Roderiga. "Di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid. Dan kita takkan pulang sebelum mencapai matlamat itu," kata-kata Thariq Ziyad yang telah berjaya meniupkan semangat tentera-tenteranya untuk menentang 100,000 tentera Gotik. Tambahan lagi, Thariq bin Ziyad telah membakar kesemua kapal yang mereka gunakan supaya askar-askarnya dapat berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.
Akhirnya tentera Gotik kalah dan Raja Roderiga mati lemas di dalam sungai Barbar ketika cuba melarikan diri. Kemudian, terjadi lagi satu pertempuran yang paling sengit di Ecija. Tentera yang dipimpin oleh Thariq bergabung dengan tentera yang dipimpin oleh Musa bin Nusair, dan sekali lagi tentera Islam menang. Thariq Ziyad terus mengukir kejayaan dengan menakluk beberapa kawasan di Andalusia, antaranya Kordoba, Malaga, Granada, Toledo dan sebagainya.
Akhirnya, seluruh bumi Andalusia berjaya ditakluki oleh pemerintahan Islam, dalam masa yang sama penyebaran Islam terus digiatkan di seluruh kawasan Andalusia.
Thariq bin Ziyad bercadang hendak menakluk seluruh Eropah. Ketika persiapan giat dilakukan, tiba-tiba Thariq diperintahkan oleh khalifah kembali ke Damsyik. Sebagai panglima tentera yang berdisiplin, beliau mematuhi arahan itu dan terpaksa membatalkan niat untuk menakluki Eropah. Panglima Thariq bin Ziyad meninggal dunia di Damsyik. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.
"...seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian pasti hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh pula berganti menjadi berani. Oleh itu, pertahankan jiwa kalian." - Thariq bin Ziyad-
"Selamat tinggal sahabat-sahabatku. Teruslah berjihad di jalan Allah. Sebarkan Islam ke seluruh dunia." -Panglima Thariq bin Ziyad-
"Selamat jalan panglima yang berjasa. Semoga Tuhan pertemukan kita semula. Sekiranya tidak di dunia, kita pasti bertemu di akhirat." -Musa bin Nusair-
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." (3:185)
wallahua'lam.